MANUSIA yang tenggelam dalam kemewahan dunia, dikuasai hawa
nafsu dan hidup dibelenggu maksiat amat sikit bahkan mungkin juga
tidak mengingati malaikat maut pasti datang membawa perintah Allah
untuk meragut nyawanya.
Jika mengingati mati, pasti mereka ketakutan atau bersedih kerana
mengingatkan apa yang bakal dihadapinya di alam akhirat, tetapi
ia gusar mengenangkan harta bendanya serta segala kemewahan
dunia yang bakal ditinggalkannya.
Firman Allah:
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan pada hari kiamat
saja akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang
dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke syurga maka
sesungguhnya dia sudah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan
di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya)
tidak lain hanya kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Ali
Imran: 185).
Ketahuilah kematian pasti tiba kepada seluruh umat tanpa mengenal
erti bangsa, kedudukan, kekayaan atau gagah perkasa. Tiada
sesiapa pun yang boleh melarikan diri daripada maut. Apabila
ditetapkan waktu kematian seseorang, ia tidak akan tertunda atau
dicepatkan walaupun sesaat.
Firman Allah bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sebenarnya maut yang kamu
larikan diri daripadanya itu, tetap menemui kamu; kemudian kamu
akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib
dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu
telah lakukan (serta membalasnya).” (Al-Jumu’ah: 8.)
Dengan mengingati kematian, kita lebih berwaspada dalam
menghadapi liku kehidupan dan sentiasa berusaha menurut perintah
Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan larangannya kerana kita
tidak tahu bila ajal tiba.
Mengingati kematian menyebabkan kita teruja membuat persiapan
rapi menghadapinya nanti. Oleh itu, Islam amat menganjurkan kita
sentiasa mengingati kematian.
Cara terbaik ialah mengenangkan keluarga, sahabat atau sesiapa
saja yang boleh mempengaruhi hidup kita. Mereka mungkin memiliki
kekayaan, jawatan besar serta disanjung tetapi kini jasadnya
bersendirian di dalam kubur. Hartanya, kedudukannya serta
sanjungan orang ramai kini terpisah daripadanya. Kita perlu serapkan
di jiwa kematian juga pasti menjemput dan akan keseorangan di alam
kubur.
Kita juga perlu menziarahi kubur kerana membantu mengingati kita
juga akan menghadapi nasib sama dengan ahli kubur itu. Islam juga
menganjurkan kita menziarahi orang sakit serta menghadiri majlis
pengebumian kerana dapat mengingatkan kita mengenai kematian.
Mengingati kematian membawa nilai positif terhadap insan, maka
banyak dalil menganjurkan manusia selalu mengingati kehidupan
hanya sementara.
Rasulullah juga mengkategorikan insan yang sentiasa mengingatkan
kematian sebagai manusia paling bijaksana. Ibnu Umar berkata: “Aku
bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada
Baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah.
Manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda
menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya
lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik?
“Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati kematian antara
mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu
orang cerdik,” (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)
Mengingati kematian juga boleh mendatangkan ketenangan jiwa
seseorang sedang menghadapi kesulitan hidup.
Ia menimbulkan kesedaran dunia bukan segala-galanya dan selepas
kematian ada alam yang kehidupan serta kenikmatannya abadi.
Bagi mereka yang dianugerahkan kesenangan, maka mengingati
kematian menjauhkannya daripada kerlipan serta godaan duniawi.
Kematian menyedarkannya kesenangan duniawi tidak kekal dan dia
bakal berpisah dengannya.
Hanya kehidupan di alam akhirat kekal abadi dan ini dapat
menggerakkan jiwa untuk mempergunakan segala kesenangan di
dunia ini demi mencapai kebahagiaan di akhirat.
Oleh itu, dengan menyedari setiap bernyawa pasti akan menghadapi
maut yang hanya diketahui Allah, pasti ia menimbulkan semangat
untuk segera melakukan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.
Jika seseorang menangguhkan untuk melakukan amalan salih dan
ternyata ajalnya tiba ketika asyik melakukan maksiat, dia termasuk
orang yang rugi dan bakal mendapat balasan buruk di akhirat.
Justeru, setiap umat Islam harus manfaatkan kehidupannya dengan
cara terbaik iaitu mengerjakan amalan diperintah Allah dan Rasul-
Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Ketika tubuh sihat, kita
manfaatkan semaksimum mungkin supaya menjadi insan beriman,
bertakwa dan gemar mengerjakan amal salih.
Mana tahu entah esok mahupun lusa kita ditimpa kecelakaan
sehingga terlantar keuzuran dan tidak lagi mampu melakukan amalan
yang salih.
Kita pergunakan hayat dengan menghindari perbuatan maksiat
kerana mungkin entah esok mahupun lusa malaikat maut mencabut
nyawa sedangkan kita masih bergelumang dengan dosa.
Kesimpulan
Menurut Abdullah Bin Umar, Rasulullah s.a.w. telah
bersabda, “Sesungguhnya hati-hati ini akan berkarat sebagaimana
besi berkarat apabila terkena air.” Beliau lalu ditanya, “Ya Rasulullah,
apakah penggilapnya?” Rasulullah bersabda, “Banyak ingatkan maut
dan membaca Al-Quran.”
Ingat lima perkata sebelum datang lima perkara
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment