Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:"…perguna lima perkara sebelum datang lima perkara; masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa lapangmu sebelum sibuk, masa beradamu (kaya) sebelum jatuh miskin dan masa hidupmu sebelum mati…"

"Takutlah kamu akan hari (kemudian) kamu semua akan dikembalikan padaNya; kemudian disempurnakanNya balasan amal bagi setiap diri sedangkan mereka tidak dizalimi"-Surah Al-Baqarah:ayat 281

Friday, April 22, 2011

FADHILAT ZIKIR ASMAUL HUSNA PART 1

(fadhilat ini dipetik dari tajuk buku Khasiat Asmaul-Husna & Himpunan Ayat-Ayat Al-Quran, susunan : Abu Nur Husnina, keluaran Pustaka Ilmi).
1. "Ya Allah!" apabila dizikirkan 500 x setiap malam, lebih-lebih lagi selepas solat tahajjud atau solat sunat 2 rakaat mempunyai pengaruh yang besar di dalam mencapai segala yang dihajati.
2. "Ya Rahman!" apabila dizikirkan sesudah solat 5 waktu sebanyak 500x, maka hati kita akan menjadi terang, tenang & sifat-sifat pelupa & gugup akan hilang dengan izin Allah.
3. "Ya Rahim!" apabila dizikirkan sebanyak 100 x setiap hari, InsyaAllah kita akan mempunyai daya penarik yang besar sekali hingga manusia merasa cinta & kasih serta sayang terhadap kita.
4. "Ya Malik!" apabila dizikirkan sebanyak 121 x setiap pagi atau setelah tergelincirnya matahari, segala perkerjaan yang dilakukan setiap hari akan mendatangkan berkat & kekayaan yang diredhai Allah.
5. "Ya Quddus!" apabila dizikirkan sebanyak 100 x setiap pagi setelah tergelincir matahari, maka hati kita akan terjaga dari semua penyakit hati seperti sombong, iri hari, dengki dll.
6. "Ya Salam!" apabila dizikirkan sebanyak 136 x, InsyaAllah jasmani & rohani kita akan terhindar dari segala penyakit sehingga badan menjadi segar sihat & sejahtera.
7. "Ya Mukmin!" apabila dizikirkan sebanyak 236 x, InsyaAllah diri kita, keluarga & segala kekayaan yang dimiliki akan terpelihara & aman dari segala macam gangguan yang merosakkan.
8. "Ya Muhaimin!" apabila dizikirkan sebanyak 145 x sesudah solat fardhu Isyak, Insyaallah fikiran & hati kita akan menjadi terang & bersih.
9. "Ya 'Aziz!" apabila dizikirkan sebanyak 40 x sesudah solat subuh, InsyaAllah, kita akan menjadi orang yang mulia, disegani orang kerana penuh kewibawaan.
10."Ya Jabbar!" apabila dizikirkan sebanyak 226 x pagi & petang, semua musuh akan menjadi tunduk & patuh dengan izin Allah.

Friday, April 8, 2011

KESEMPURNAAN SAF – PART 2

PERANAN IMAM Rasulullah sebelum memulakan solat, akan memastikan makmum di belakangnya meluruskan saf terlebih dahulu. Anas bin Malik berkata, ketika telah iqamah untuk solat, Rasulullah menghadap kepada kami dengan wajahnya seraya bersabda: Luruskan saf dan rapatkanlah kerana sesungguhnya aku melihat kalian dari belakangku. (Riwayat Bukhari)Kebiasaan yang kita lihat di masjid-masjid, para imam hanya melaungkan “luruskan saf”, “luruskan saf” tanpa melihat jemaah di belakang sama ada mereka mematuhi perintahnya atau tidak.Mereka seperti hanya melepaskan batuk di tangga. Sedangkan Rasulullah akan menghadap para makmum dan memastikan arahan meluruskan saf benar-benar dilaksanakan oleh para sahabat. Malah ada riwayat yang menyatakan Baginda pergi ke setiap barisan untuk melihat sama ada saf benar-benar telah lurus sebelum memulakan solat.Daripada Albara’ bin ‘Aazib berkata: Adalah Rasulullah memasuki celah-celah barisan (saf) sambil mengusap dada dan bahu kami. (Riwayat Abu Daud). Pada zaman Umar al-Khattab pula, beliau mewakilkan tugas meluruskan saf kepada seseorang. Beliau tidak akan bertakbir (memulakan solat) sehingga orang yang membantunya dalam meluruskan saf itu memberitahu bahawa saf telah benar-benar lurus. Begitu juga dengan Uthman al-Affan dan Ali bin Abu Talib, mereka berdua bersepakat melakukan apa yang telah dilakukan oleh Umar. Dulu, Ali selalu mengatakan: “Maju wahai si fulan! Mundur sedikit wahai si fulan!”Penulis menyarankan para imam masjid-masjid di Malaysia agar memerhatikan perkara ini dengan penuh teliti supaya amalan mereka selari dengan sunah Nabi dan Khulafa’ ar-Rasyidin. CARA MELURUSKAN SAF Meluruskan saf dalam solat berjemaah merupakan sunah Nabi s.a.w. Malah ada ulama yang memandang penyempurnaan saf dalam solat adalah wajib. Menurut Syaikh Muhammad Nashiruddeen al-Albani: ”Mendirikan dan meluruskan saf hukumnya wajib kerana terdapat perintah yang berasal daripada Rasulullah. Kalimat perintah itu pada asalnya bererti wajib, kecuali ada qarinah (petunjuk lain) yang mengalihkan daripada pengertian wajib tersebut.Namun, terlalu sedikit di kalangan masyarakat kita yang mengamalkannya. Pada tanggapan mereka kesempurnaan saf hanyalah dengan mempastikan barisan solat itu lurus. Sebenarnya ada beberapa perkara lain yang juga telah diperintahkan oleh Rasulullah berkaitan kesempurnaan saf: 1. Merapatkan bahu dengan bahu orang yang solat bersebelahan dengannya.2. Merapatkan lutut dengan lutut orang yang solat bersebelahan dengannya.3. Merapatkan buku lali dengan buku lali orang yang solat bersebelahan dengannya.Hanya dengan mempraktikkan perkara-perkara di atas barulah tercapai kesempurnaan saf dalam solat berjemaah dalam erti kata sebenar. Hadis-hadis berkaitan dengan perkara di atas adalah seperti berikut: * Daripada Nu’man bin Bashir berkata: “Aku melihat seseorang merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan (melekatkan) lututnya dengan lutut saudaranya dan melekatkan mata kakinya (buku lali) dengan mata kaki saudaranya.” (Riwayat Abu Daud). * Daripada Anas bin Malik daripada Nabi s.a.w. bersabda:(Pada waktu solat) setiap kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan telapak kakinya (buku lali) dengan telapak kaki saudaranya. (Riwayat Bukhari). Sunah Nabi s.a.w. ini seakan-akan sudah lenyap dari masjid-masjid di Malaysia.Penulis pernah cuba mempraktikkan sunah ini dalam solat berjemaah di beberapa masjid, namun hasilnya amat mengecewakan. Ramai dari kalangan jemaah akan menjauhkan buku lali dan lutut masing-masing ketika penulis cuba merapatkan saf tersebut.Mereka seolah-olah tidak selesa merapatkan dan meluruskan saf dengan cara begini.Namun begitu kita sebenarnya tidak boleh menyalahkan mereka kerana sunah ini memang tidak disebarkan secara meluas di Malaysia, apalagi untuk dipraktikkan.Penulis yakin sekiranya sunah ini diajar secara meluas di dalam kelas-kelas atau kitab-kitab fardu ain nescaya ia akan diamalkan di seluruh masjid di Malaysia. HIKMAH MERAPATKAN SAF 1. Ia merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kesempurnaan solat. Sabda Rasulullah: Luruskan saf kamu, kerana meluruskan saf merupakan sebahagian kesempurnaan solat. (Riwayat Muslim). 2. Ia adalah faktor yang boleh menyatukan hati umat Islam. Sabda Rasulullah: Luruskan saf solat kamu dan janganlah kamu bercerai-berai (dalam mendirikan saf), akan tercera-berai hati kamu. (Riwayat Muslim). Sabda Baginda lagi: Tegakkanlah saf-saf kamu sekalian sebanyak tiga kali, demi Allah (kamu diperintah agar) merapatkan/meluruskan saf-saf kamu, atau Allah akan mencerai-beraikan hati kamu. (Riwayat Abu Daud).Menurut Syaikh Abu UbaidahMasyhur:”Dalam perintah meluruskan dan merapatkan saf merupakan unsur pendekat jiwa yang akan menjalinkan hubungan persaudaraan dan keinginan saling menolong. Bagaimana tidak! Bukankah bahu si miskin berhimpitan dengan bahu si konglomerat, kaki si kuat melekat dengan kaki si lemah. Dan semuanya berada dalam satu saf, bagaikan bangunan yang tersusun sangat rapat. 3. Ia dapat menghindari gangguan syaitan ke atas orang yang bersolat. Sabda Rasulullah:Rapatkanlah saf kamu sekalian, dekatkanlah antara saf, tegakkanlah tengkuk kamu. Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman Tangan-Nya, sesungguhnya aku melihat syaitan menyusup di celah-celah saf seperti anak kambing. (Riwayat Abu Daud). 4. Allah mencintai mereka yang menyempurnakan saf. Sabda Rasulullah:Tidak ada suatu langkah yang sangat dicintai oleh Allah daripada langkah seseorang hamba untuk menyambung (menyempurnakan) saf (dalam solat). (Riwayat Abu Daud). 5. Ganjaran pahala yang besar bagi mereka yang menyempurnakan saf di dalam solatnya. Rasulullah bersabda:Orang yang paling baik di antara kalian adalah seseorang yang paling lembut bahunya di dalam solat, tidak ada suatu langkah yang pahalanya lebih besar daripada langkah seseorang yang melangkah untuk menutup celah dalam saf. (Riwayat Thabrani). 6. Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada mereka yang menyempurnakan saf dalam solat.Sabda Rasulullah : Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama. Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan yang kedua.” Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama. Para sahabat bertanya lagi: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan yang kedua.” Rasulullah menjawab: Ya, juga bagi saf kedua. (Riwayat Ahmad).Sayang sekali sunah-sunah berkaitan dengan saf ini telah dilalaikan dan diambil mudah oleh masyarakat Islam bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Apa yang ingin penulis sarankan di sini adalah agar sunah meluruskan dan merapatkan saf ini dihidupkan semula, terutamanya oleh para imam di masjid-masjid seluruh Malaysia.Para imam hendaklah bersungguh-sungguh mengerjakan sunah ini dan mengajak mereka yang bersolat di belakang melaksanakannya.Sabda Rasulullah s.a.w mengingatkan:Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat. (Riwayat Bukhari). wallahua’lam