Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:"…perguna lima perkara sebelum datang lima perkara; masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa lapangmu sebelum sibuk, masa beradamu (kaya) sebelum jatuh miskin dan masa hidupmu sebelum mati…"

"Takutlah kamu akan hari (kemudian) kamu semua akan dikembalikan padaNya; kemudian disempurnakanNya balasan amal bagi setiap diri sedangkan mereka tidak dizalimi"-Surah Al-Baqarah:ayat 281

Thursday, March 31, 2011

KESEMPURNAAN SAF – PART 1

KALIMAT yang sering kita dengar dari mulut imam sebelum memulakan solat adalah “Luruskan saf (barisan dalam solat berjemaah)” atau “Rapatkan saf”. Namun berapa ramai yang benar-benar mengikuti arahan imam tersebut? Berapa ramai yang mengetahui apa maknanya meluruskan saf mengikut sunah Rasulullah s.a.w. yang sahih? Para ulama sepakat bahawa saf pertama adalah saf terbaik dan besar keutamaannya bagi jemaah lelaki dalam bersolat.Manakala bagi saf jemaah perempuan, saf paling utama adalah saf paling akhir sekali. Ia sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :Sebaik-baik saf barisan lelaki yang paling depan, dan yang terburuk ialah yang paling belakang, dan sebaik-baik barisan perempuan yang terakhir, dan yang terburuk ialah yang paling depan. (Riwayat Muslim) Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan Abu Hurairah: Andaikata manusia mengetahui apa yang ada di dalam panggilan azan dan memenuhi saf paling depan, kemudian mereka tidak berjaya mendapatkannya (saf paling depan itu) kecuali jika mereka berlumba untuk mendapatkannya, pasti mereka akan berlumba. (Riwayat Bukhari). Disebut juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w. bahawa saf di sebelah kanan mempunyai lebih keutamaan berbanding saf di sebelah kiri. Daripada Aishah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat terhadap orang yang berada di saf sebelah kanan. (Riwayat Ibnu Majah) Di antara fadilat solat di saf pertama: 1) Menjaga kesempurnaan saf pertama sama seperti safnya para malaikat. Riwayat Jabir bin Samurah yang berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: ”Tidakkah kamu berbaris sebagaimana saf para malaikat di sisi Tuhan-Nya?” Kami bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimanakah saf mereka di depan Tuhan?” Jawab Nabi: “Menyempurnakan barisan pertama dan rapat benar dalam barisan.” (Riwayat Muslim)Daripada hadis di atas dapat kita fahami bahawa mereka yang memenuhi saf paling depan ketika solat adalah sama dengan saf para malaikat yang sentiasa menjaga kesempurnaan saf mereka dan saf para malaikat ini hampir dengan Allah s.w.t. Dari sini boleh kita katakan bahawa mereka yang berada di saf paling hadapan adalah orang yang paling hampir dengan Allah dan lebih mudah memperoleh rahmat-Nya. 2) Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada mereka yang berada di saf-saf paling hadapan. Daripada Abu Umamah berkata bahawa Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama.” Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan saf kedua.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama.” Para sahabat bertanya lagi: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan saf kedua.” Rasulullah menjawab: “Ya, juga saf kedua.” (Riwayat Ahmad).SelawatMenurut Dr. Fadhal Ilahi, makna selawat Allah atas mereka (yang berada di saf pertama) adalah seperti yang dikatakan oleh Imam ar-Raghib al-Asfahani, iaitu: “Tazkiyah (Penyucian daripada dosa-dosa) terhadap mereka.” Selawatnya para malaikat pula: “Iaitu berbentuk doa dan permohonan keampunan.” Alangkah beruntungnya sesiapa yang mendapat tazkiyah daripada Allah dan doa pengampunan daripada para malaikat. 3) Rasulullah memohon keampunan buat mereka di saf pertama sebanyak tiga kali. Daripada ‘Irbadh bin Sariyah bahawa Rasulullah memohon keampunan bagi mereka yang berada di saf pertama tiga kali dan untuk saf kedua hanya sekali.(Riwayat Ibnu Majah). Alangkah bahagia sekiranya orang yang paling mulia di atas muka bumi ini memohon keampunan untuk kita.Demikianlah beberapa keutamaan saf paling hadapan di dalam solat berjemaah. Yang amat dikesalkan terdapat ramai di antara kita yang tidak lagi memberi perhatian terhadap keutamaan-keutamaan ini. Umat Islam di Malaysia seakan-akan tidak ghairah merebut saf pertama.Mereka lebih memilih untuk mendapatkan tempat yang membolehkan mereka bersandar dengan selesa seperti di tiang-tiang atau di dinding masjid, berdekatan dengan kipas dan pintu supaya dapat cepat keluar setelah selesai bersolat.Ada pula yang datang awal ke masjid tetapi berborak dahulu di luar masjid sambil menghisap rokok. Alangkah ruginya mereka ini. Sesungguhnya Rasulullah menyatakan bahawa sesiapa yang secara sengaja memenuhi saf belakang, maka Allah akan membelakangkan mereka.Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah melihat ada sebahagian sahabatnya yang tidak mahu maju ke saf pertama, maka baginda bersabda: Majulah dan ikutilah saya, sedangkan orang-orang di belakang harus mengikutimu pula! Sesuatu kaum yang selalu suka di belakang, tentu akan dibelakangkan pula oleh Allah. (Riwayat Muslim).Adakah kerugian yang lebih besar daripada kerugian dibelakangkan oleh Allah? Oleh itu datanglah awal ke masjid untuk solat berjemaah dan rebutlah saf pertama..........BERSAMBUNG

No comments:

Post a Comment